Tahun 1996.
Zaman di mana telefon bimbit masih satu kemewahan, dan meter teksi masih berbunyi dengan "tik tik tik" setiap beberapa meter. Malam di pekan-pekan kecil lebih gelap daripada biasa – hanya disuluh lampu jalan sesekali. Di sebuah bandar kecil di negeri Pahang, tinggal seorang pemandu teksi berusia lewat 30-an. Namanya Pak Mat.
Pak Mat bukan orang baru. Sudah hampir 10 tahun dia bawa teksi, mengenal jalan-jalan kecil dan lorong tersembunyi macam belakang tapak tangan. Dan seperti biasa, malam itu dia menunggu giliran di stesen teksi pekan – seperti rutin biasa, berbual kosong dengan rakan-rakan pemandu lain sambil menanti penumpang terakhir hari itu.
Rezeki Lewat Malam
Jam hampir 11:40 malam. "Jam di pondok teksi berdetik lambat... seolah-olah masa enggan bergerak." ."Kebanyakan pemandu lain sudah angkat kaki, ada yang nak tidur awal, ada yang kata tiada harapan lagi untuk trip malam. Tapi Pak Mat tunggu. Dia tahu — rezeki malam kadang-kadang lebih mahal.
"Langit malam kelihatan kelam tak seperti biasa. Ada suara burung malam yang tiba-tiba senyap sebaik lelaki itu melangkah dekat
“Bang, boleh hantar saya ke Kampung Tengah? seorang lelaki muda datang menghampiri. Berpakaian kemas, berkemeja putih dan membawa beg kecil. Wajahnya bersih, nada suaranya sopan.
Pak Mat tersenyum. “Boleh dik. Malam-malam ni jauh sikit, tapi tak apa. Kampung Tengah… lebih kurang 30 kilometer je.”
Lelaki itu angguk. “Tak kisah bang. Saya bayar lebih sikit.”
Pak Mat senyum lebar. Inilah rezeki dia tunggu dari tadi.
Sembang Dalam Gelap
Sepanjang perjalanan, mereka sembang kosong. Soal kerja, tempat asal, cerita cuaca yang panas, semua keluar. Lelaki itu banyak senyum dan balas dengan tenang.
“Bang, malam-malam macam ni tak takut bawa teksi?” soalnya tiba-tiba.
Pak Mat ketawa kecil. “Takut tu biasa. Tapi dah lama kerja, hati dah kering.”
Sembang mereka berlanjutan sampai hampir ke destinasi. Jalan masuk ke Kampung Tengah agak gelap dan sunyi. Tak ramai orang lalu-lalang waktu begitu.
Sampai depan rumah kayu sederhana besar, penumpang itu minta berhenti. Pak Mat nampak dia masuk ke halaman rumah, buka pintu perlahan dan melambai sekali sebelum menghilang ke dalam.
Perjalanan Pulang
Pak Mat pusing balik, perlahan-lahan menelusuri jalan yang tadi mereka masuk. Jalan lengang. Radio kecil dalam teksi bunyikan lagu 90-an perlahan, sesekali kedengaran suara DJ malam.
Semua rasa biasa… sehinggalah Pak Mat tercium sesuatu.
Bau yang sukar digambarkan. Campuran bau bunga cempaka dan asap. Dia pandang cermin sisi. Ada sebuah kereta di belakang. Cermin sisi bergetar. Tapi jalan rata. Lampu dari belakang seperti berkedip-kedip, Lampunya terang, tapi tak terlalu dekat. Cuma ikut... dari jauh.
Mula Tak Sedap Hati
Mula-mula Pak Mat fikir itu mungkin kereta orang kampung lain. Tapi bila masuk ke jalan utama, kereta itu masih ikut. Bila dia memperlahankan kenderaan, kereta itu perlahan juga. Bila dia lajukan sedikit, kereta itu ikut rentak yang sama.
Pak Mat mula rasa tak sedap hati.
"Perompak ke? Nak ikut aku sampai tempat sunyi ke?"
Dia cuba tukar laluan, masuk simpang kecil, keluar simpang lain — tapi kereta itu tetap ikut.
Pelik... Bila Terang, Hilang
Satu perkara mula menakutkan Pak Mat. Dia perasan sesuatu yang aneh.
Setiap kali dia lalu bawah tiang lampu jalan, kereta itu hilang daripada cermin sisi. Seolah-olah tak wujud langsung.
Tapi bila sampai ke kawasan gelap, kereta itu muncul balik – lengkap dengan dua lampu depannya yang suram.
“Bismillahirrahmanirrahim…” Pak Mat mula baca surah-surah yang dia ingat.
Mulutnya tak berhenti – al-Fatihah, tiga Qul, Ayat Kursi. Tangannya pegang stereng kuat-kuat.
Peluh mengalir walaupun air-cond dipasang.
Sampai di Stesen Teksi
Pak Mat terus pandu sampai ke stesen teksi. Bila sampai, dia nampak dua orang kawannya, Mail dan Nuar, masih duduk sambil minum air termos.
Dia terus matikan enjin dan duduk senyap dalam teksi, tak turun-turun.
Mail ketuk cermin. “Mat, kau ok ke? Tak balik rumah?”
Pak Mat hanya angguk. “Jap lagi. Penat sikit.”
Tapi dia sebenarnya tak berani nak bergerak seorang diri. Dia tunggu sampai azan Subuh, baru beransur balik.
Keesokan Hari
Esoknya, Pak Mat perasan yang penumpang semalam tertinggal beg. Bila dibuka beg tersebut berisi daun sirih dan bunga cempaka yang sudah kering. Lalu pak mat terus spontan membuka beg dipinggangnya mencari duit yang diberi oleh penumpang semalam.
fuhh lega.. nasib baik dia bagi duit betul. maknanya yang tumpang semalam memang manusia la kot.
Selepas waktu sarapan di warung tepi jalan, barulah dia cerita segalanya.
Mail dan Nuar terdiam.
“Aku pun pernah kena ikut macam tu dulu, Mat,” kata Nuar perlahan.
“Kampung Tengah tu… orang kata memang tempat ‘berbatu’. Malam-malam, jangan patah balik terus. Kena berhenti, tarik nafas, bagi salam dulu…”
Pak Mat hanya tunduk. Dia tak jawab. Tapi sejak malam itu, dia tak pernah ambil trip Kampung Tengah waktu malam lagi.
Pengajaran Cerita
Jangan terlalu seronok cari rezeki malam, sampai lupa tempat yang kita lalu mungkin ada ‘penumpang’ lain yang sedang ikut.
Kadang-kadang, yang naik teksi bukan semua manusia. Dan kadang-kadang, yang mengekori… bukan semua nampak bila tempat terang.

No comments:
Post a Comment