Labels

Monday, 10 November 2025

Antara Hobi dan Gangguan


Hajat di hati memang nak menulis banyak. Ada banyak cerita yang aku simpan  kisah sebenar, kisah orang, kisah yang pernah aku alami sendiri. Aku menulis blog sekadar hobi, bukan kerana populariti. Tapi siapa sangka, menulis rupanya boleh jadi satu perkara yang mencabar.

Sejak kebelakangan ni, setiap kali aku mula menaip, mesti ada saja hal yang buat aku berhenti. Kadang-kadang aku nampak kelibat melintas di tepi mata. Kadang-kadang pula badan tiba-tiba rasa tak sihat. Ada masa bau wangi semerbak datang tanpa sebab, tapi tak lama lepas tu, bau busuk pula menyusul. Pelik, tapi itu yang kerap jadi.

Aku memang tulis berdasarkan kisah sebenar  tak ubah jalan cerita, cuma tukar nama watak dan lokasi. Tapi setiap kali aku cuba habiskan satu cerita, mesti ada gangguan. Ada yang aku dah tulis separuh, ada yang tinggal beberapa perenggan saja, tapi akhirnya terbiar begitu saja sebab rasa tak sedap hati datang tiba-tiba.

Aku pernah juga cerita hal ni pada beberapa kawan kebetulan mereka dalam bidang psikologi. Mereka kata mungkin aku terlalu menghayati suasana cerita sampai terbawa-bawa emosi, sampai minda aku sendiri ‘hidup’ dalam kisah tu. Mungkin betul, mungkin juga tidak. Wallahu a‘lam.

Kadang-kadang aku fikir… mungkin aku kena ubah tema kot. Tapi dalam masa sama, aku harap masih ada kelapangan dan kekuatan untuk teruskan menulis. Sebab walau apa pun yang berlaku, menulis tetap buat aku rasa hidup — walaupun kadang-kadang, hidup ni terasa sed
ikit… sunyi dan aneh.